Kaunselor
Di Lorong Gelap
Lorong-lorong
gelap di sekitar ibu kota merakamkan kisah tersendiri
menjelang dinihari. Di situlah tempat pelacur jalanan
mencari rezeki. Sedihnya, ada yang sanggup mengheret
anak kecil, duduk menunggu pelanggan di benteng kedai
lama. Tidak kurang yang sudah tidak terdaya tidur bergelimpangan
di kaki lima kedai.
Terpanggil
menyingkap kisah di sebalik lorong gelap ini wartawan
Keluarga dan jurugambar dengan bantuan seorang hamba
Allah yang telah bertaubat dan insaf berjaya menembusi
sarang pelacuran tersebut setelah tiga kali mencuba.
Dalam
tinjauan yang berlaku antara pukul 12 tengah malam hingga
2 pagi itu mereka menyaksikan sendiri urusan tawar menawar
yang berjalan lancar tanpa gangguan. Mudah dan ringkas.
Beberapa minit berurusan, pasangan terbabit hilang daripada
pandangan.
Mendekati
beberapa pelacur jalanan yang berada di situ, jelas
sekali desakan hidup menjadi punca mereka melacur, biarpun
sekadar upah RM10 kehidupan kotor terpaksa diteruskan
demi sesuap nasi untuk anak-anak.

Seperti
orang lain, mereka juga manusia, sampai masa, keinsafan
akan datang. Namun ke mana hendak dituju? Siapa yang
sudi menerima dan membantu?
Ikuti
pendedahan eksklusif wartawan Rosmah Dain dan jurugambar
Azli Ahad tentang kehidupan pelacur jalanan yang mengharapkan
bantuan untuk kembali ke pangkal jalan.
Atas
kesedaran ingin membantu rakan-rakan senasib, Ketua
Biro Wanita Pendamai Malaysia, Arfidar Abd. Latif, 50,
sanggup bergolok bergadai untuk mendapatkan modal bagi
'memberikan' peluang kepada pelacur jalanan dan penagih
dadah yang berada di lorong-lorong hitam untuk kembali
ke pangkuan masyarakat.
Telah
pulih dari ketagihan dadah sepenuhnya semenjak 1995,
Arfidar berusaha menjejaki rakan-rakan senasib bermula
pada tahun 1997 sehingga sekarang dengan dibantu oleh
suaminya, Raja Azizan Suhaimi Raja Abd. Latiff, 47,
yang juga Setiausaha Pendamai Malaysia cawangan Wilayah
Persekutuan dan ahli Yayasan Salam.
"Semua
itu saya lakukan dengan ikhlas. Saya mahu rakan-rakan
lain dapat menikmati terbitnya suria pagi, lebih awal
daripada saya, ketika usia masih muda, tidak seperti
saya yang menyedari hakikat ini ketika usia sudah senja.
"Saya
tidak mahu setakat hanya untuk menjadi ikutan contoh
kepada rakan-rakan lain kerana berjaya keluar dari kemelut
ini, tetapi saya juga mahu lebih daripada itu, membantu
mereka demi masa depan mereka dengan saya sebagai tempat
rujukan,'' katanya.
Arfidar
yang juga Penyelia Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Chow Kit,
di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata,
golongan ini sebenarnya memerlukan bantuan tetapi telah
terlepas pandang.
Menurutnya,
mereka tidak boleh berubah sekiranya tidak ada badan
tertentu yang bertanggungjawab membawa mereka ke pangkal
jalan.
"Cuba
bayangkan bagaimana sekiranya seorang wanita yang baru
keluar dari pusat pemulihan mahu pun penjara tetapi
tidak diterima oleh keluarga atau masyarakat, ke mana
lagi mereka hendak pergi sekiranya tidak kembali ke
lorong-lorong hitam ini.
"Seperkara
lagi, apabila mereka keluar dari pusat itu, ada di antara
mereka yang tiada kad pengenalan, tidak mempunyai wang
jadi bagaimana mereka akan mendapatkan pekerjaan, selain
terus menjual diri dan menagih,'' katanya.
Arfidar
memberitahu, semenjak 1997, lorong-lorong hitam berkenaan
menjadi tempatnya memberi motivasi dan kaunseling kepada
rakan rakan senasib agar kembali ke pangkal jalan. Kata
Arfidar, kehidupan pelacur jalanan dan penagih dadah
sangat daif.
"Mereka
ingin keluar tetapi tidak mendapat tempat di kalangan
keluarga dan masyarakat sehinggakan mereka merasakan
diri tidak boleh dimaafkan lagi.
"Alhamdulillah,
setakat ini kita telah berjaya membawa lebih daripada
20 orang daripada mereka yang bebas sepenuhnya daripada
kedua-dua masalah ini dan kini ada yang telah bekerja,
berniaga dan belajar komputer,'' katanya.
Menurut
Arfidar, pada mulanya dia telah menempatkan pelacur-pelacur
dan penagih dadah wanita yang mahu kembali ke pangkal
jalan di kediamannya di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Selepas itu menumpangkan mereka buat sementara di Prokim
Malaysia iaitu salah sebuah pusat persatuan badan-badan
bukan kerajaan (NGO), di Sungai Besi, Kuala Lumpur.
"Terlalu
ramai di rumah saya, bersesak-sesak, jadi saya mengambil
keputusan menempatkan mereka di Prokim Malaysia sebelum
berusaha untuk mendapatkan sebuah pusat khidmat wanita
khusus untuk mereka,'' katanya.
Katanya,
peluang untuk golongan ini kembali kepada masyarakat
terbuka luas. Mereka sudah tidak sanggup lagi menjalani
kehidupan seperti itu. Seringkali apabila Arfidar melawat
sekitar lorong-lorong berkenaan, ramai di kalangan mereka
melahirkan hasrat kembali ke pangkal jalan. Kawasan
atau bangunan yang bakal dijadikan sebuah pusat khidmat
dan perlindungan wanita seperti yang dirancang bakal
dinamakan Pondok Harapan Afifa Azizan yang boleh menempatkan
30 wanita pada satu masa.
Apabila
wanita seperti ini meminta pertolongan, kita akan fikir
apa yang mereka perlukan. Sekiranya mereka tiada kad
pengenalan, kita akan uruskan secara percuma. Kad pengenalan
memudahkan mereka menguruskan soal-soal lain. Kemudian
kita akan uruskan soal pekerjaan untuk mereka,'' katanya
yang mempunyai empat cahaya mata.
Menurutnya,
tujuan penubuhan pusat khidmat wanita berkenaan antara
lain untuk mengekang penularan jangkitan HIV/AIDS di
kalangan pelacur dan penagih dadah wanita kerana setiap
sepuluh orang daripada mereka, enam daripadanya dijangkiti
HIV/AIDS, mengurangkan gejala sosial selain memberikan
kehidupan baru kepada mereka.
Arfidar
seterusnya menasihatkan kaum wanita jangan sesekali
menyempitkan pemikiran dan menceburi pekerjaan yang
penuh dengan dosa itu.
Kepada
mereka yang ingin meminta pertolongannya boleh menelefon
talian 016-3968703 atau suaminya, Raja Azizan Suhaimi
pada talian 017-3187432.
|