Sendirian
habiskan sisa-sisa hidup
HATI
tersentuh tatkala bersua muka dengan penghuni Rumah
Sri Kenangan, Cheras lewat petang itu. Manakan tidak,
mereka berada di sini dengan rakan-rakan sebaya dan
menghabiskan sisa-sisa hidup, di samping berharap untuk
keluar mencari rezeki sendiri, walaupun berada di penghujung
usia.
Memang,
ada yang datang atas kerelaan sendiri dengan alasan
tidak mahu membebankan anak-anak yang telah berkeluarga.
Tidak kurang juga, yang ditipu saudara mara kerana beranggapan
mereka ini membebankan, dan menunggu anak-anak datang
membawanya pulang ke rumah. Ada pula yang dimasukkan
ke sini setelah ditangkap dalam operasi pengemis dan
kutu rayau sekitar kotaraya.
Apakah
erti kebebasan dan kegembiraan bagi penghuni di sini?
Ya, mereka kelihatan tenang dan tenteram. Tapi jangan
nafikan, kehidupan bersama keluarga adalah saat yang
mereka nanti-nantikan, walaupun kehadiran mungkin tidak
disenangi.
"Makcik
banyak berkorban untuk membesarkan tiga orang anak setelah
kematian suami. Dan makcik sangat gembira kerana mereka
telah berjaya dalam hidup masing-masing. Tidak sia-sia
usaha yang makcik lakukan,'' luah Zaleha Ariffin, 60,
dengan redup matanya memandang ke arah lantai yang kosong.
Hasil
perkahwinan dengan suaminya, Zaleha dikurniakan seorang
anak perempuan yang kini berusia 40 tahun, dan dua orang
anak lelaki masing-masing berusia 31 dan 30 tahun. Mengimbas
kembali perjalanan hidupnya sebelum dibawa ke rumah
kebajikan ini, Zaleha menjelaskan, setelah kehilangan
suami tercinta, beliau perlu melakukan pelbagai pekerjaan
termasuk menjual kuih muih, kain baju dan alat-alat
solek demi memastikan ketiga-tiga anaknya berjaya dalam
hidup.
"Cuba
bayangkan, sebagai ibu tunggal banyak kesusahan yang
perlu makcik lalui. Untuk menjual, makcik selalu berjalan
keluar hinggalah suatu hari ditangkap polis. Sejak itu
makcik ditempatkan di sini,'' ujarnya tenang.
Menurut
Zaleha, walaupun anak-anaknya sudah dewasa dan berkeluarga
serta mempunyai kerjaya yang baik, namun beliau perlu
berdikari dan mencari duit poket sendiri.
"Memang
anak-anak menghalang tetapi mereka sendiri tidak menolong
dan membantu makcik. Jauh sekali untuk diajak duduk
serumah,'' katanya dalam nada sedih.
Tambahnya,
walaupun anak bongsunya selalu datang melawat tetapi
kerana dibebani tugasan kerja yang banyak, menyebabkan
perasaan rindu Zaleha tidak terbendung. Bagi ibu tunggal
seperti Zaleha, melihat anak-anaknya berjaya sudah cukup
menggembirakannya, walaupun beliau berada di rumah kebajikan.
Tidak ada yang paling berharga dalam hidupnya melainkan
tiga permata hatinya itu.
Rentetan
kisah hidup Endon Sulaiman, 55, yang berasal dari Muar,
Johor sangat berliku hingga tidak dapat menahan air
matanya daripada terus menitis. Endon menceritakan,
setelah kematian suaminya, beliau terpaksa berdikari
dengan menjalankan perniagaan kantin bagi membesarkan
lima orang anaknya yang masih kecil dan bersekolah.
"Makcik bekerja dari pagi hingga malam dan ini
menyebabkan anak-anak makcik tidak ada siapa yang menjaga
mereka di rumah. Hinggalah suatu hari, anak jiran diculik
orang Indonesia dan makcik sangat bimbang,'' ujarnya
sebak.
Lantaran
peristiwa tersebut, ia mengundang perpecahan dalam keluarga
Endon. Anak-anaknya terpaksa diserahkan kepada ipar
duai bagi memastikan keselamatan mereka terjamin. "Sejak
itu, makcik tidak dibenarkan berjumpa dengan anak-anak
sendiri walaupun makcik sangat rindu dengan mereka,''
katanya dalam air mata yang mula bergenang.
Menurutnya,
kerana termakan budi dengan saudara mara yang telah
banyak membantu, Endon terpaksa akur kepada keadaan
yang memaksanya berpisah dengan anak-anak tersayang.
"Rumah makcik hanyalah di kantin sekolah. Setelah
penghantaran pulang pendatang tanpa izin, makcik kehilangan
pekerja dan kebetulan tender kantin hampir tamat,''katanya.
Disebabkan
kemelaratan hidup dan kehilangan tempat tinggal, Endon
terpaksa mengutip tin-tin minuman di sekitar Puduraya
bagi meneruskan hidupnya yang serba daif. "Makcik
selalu kutip tin minuman pada waktu malam kerana boleh
dapat banyak. Lagipun apabila bas ekspres sampai, penumpang
suka buang tin dan makcik sangat gembira. Cuma pada
suatu malam, makcik keletihan dan tertidur di Puduraya.
Makcik hanya terjaga apabila dikejutkan pegawai Dewan
Bandaraya, Kuala Lumpur. Dan akhirnya makcik di bawa
ke sini,''katanya.
Paling
menyedihkan, Endon merupakan anak angkat dan tidak pernah
kenal siapa ibu bapa kandungnya sejak dilahirkan. "Makcik
sedar kedudukan makcik dan tidak berhak menuntut sebarang
harta pusaka daripada keluarga angkat. Makcik juga tidak
menyalahkan sesiapa dalam hal ini termasuk anak-anak
makcik yang masih tidak mengenal asam garam dalam hidup
ini,'' ujarnya tenang.
Aishah
Arshad, 76, telah berada di rumah kebajikan ini selama
empat tahun. Keputusannya untuk datang ke sini bersama
suami adalah secara sukarela tanpa sebarang bantahan
daripada anak-anaknya. "Makcik dah tua. Dah ada
cicit pun. Tapi makcik yang minta datang ke sini. Suami
makcik baru sahaja meninggal tiga bulan yang lalu,''
katanya dalam keadaan tenang. Menurut Aishah, keadaannya
dan suami yang telah tua dan selalu sakit-sakit akan
membebankan anak-anaknya yang mempunyai komitmen terhadap
kerjaya dan keluarga masing-masing.
"Walaupun
makcik tinggal di sini, mereka selalu datang melawat.
Boleh juga lepaskan rindu pada anak-anak, cucu-cucu
dan cicit-cicit,'' ujarnya. Bagi Hassan Zain, 82, keputusannya
menetap di rumah kebajikan itu juga adalah atas kerelaannya
sendiri kerana tidak mahu membebankan isteri dan anak-anaknya.
Pakcik
ingin bekerja tetapi usia yang lanjut menyebabkan pakcik
susah untuk mencari pekerjaan yang sesuai,'' katanya.Hassan
mempunyai dua anak perempuan dan tiga anak lelaki yang
masing-masing telah pun berkeluarga."Bagaimanapun,
mereka sering datang melawat pakcik di sini dan tidak
pernah mengabaikan tanggungjawab mereka,'' katanya.
Hassan
masih menyimpan harapan untuk keluar dari rumah kebajikan
ini suatu hari nanti dan boleh mencari nafkah sendiri
tanpa perlu bergantung kepada anak-anak. Keadaan Raja
Jaafar Tamam, 55, pula berbeza sekali. Menurutnya, beliau
dibawa masuk ke sini setelah ditipu anak saudara sepupunya.
"Mereka
cakap pakcik akan duduk di sini selama sebulan sahaja
tetapi sekarang sudah lebih dari dua bulan. Pakcik nak
pulang ke rumah. Tak mahu duduk sini,'' katanya sambil
memanggil penulis dengan panggilan `anak'.
Raja
Jaafar yang mengalami masalah penglihatan menceritakan,
setelah dimasukkan ke sini, tidak ada sesiapa yang datang
melawat walaupun kesihatannya tidak berapa baik.
"Anak
perempuan pakcik pun tidak tahu pakcik di sini. Kalau
dia tahu, pakcik harap dia datang jumpa pakcik dan bawa
pakcik balik,'' ujarnya dengan harapan yang menggunung.
Oleh:
ZUNAIDAH ZAINON
|