Akta
dikaji untuk pindaan - Hukum pengemis palsu
Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang mengkaji
untuk meminda Akta Orang Papa 1977
bagi menghukum pengemis palsu yang menipu orang ramai.
Setiausaha
Parlimen kementerian itu, Chew Mei Fun berkata, ia akan
dapat dilaksanakan menerusi peruntukan membabitkan takrifan
`pengemis' bagi membezakan pengemis "tulen"
dan "palsu".
Beliau
berkata, buat masa ini akta tersebut tidak mengandungi
takrifan berkenaan menyebabkan pengemis palsu yang ditahan
terlepas daripada tindakan undang-undang. "Rakyat
Malaysia terlalu bermurah hati dan mudah simpati dengan
mereka yang mengemis".
"Ini
telah menyebabkan dan menggalakkan ramai yang mengambil
kesempatan untuk menjadikan aktiviti mengemis punca
pendapatan termasuk oleh warga asing," katanya
kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Chew
berkata, seramai 1,530 pengemis dan orang papa "diselamatkan"
oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada tahun 2001,
yang terdiri 1,463 tempatan dan 67 warga asing dan 1,008
orang pada 2002 dengan 973 tempatan dan 35 warga asing.
Sejumlah
1,448 pengemis dan orang papa "diselamatkan"
tahun lalu, yang terdiri 1,265 tempatan dan 184 warga
asing.
Beliau
berkata, kementerian juga mencadangkan hukuman berat
diambil terhadap pengemis berulang dan warga asing yang
masih berterusan mengemis di negara ini.
Chew
berkata, pegawai dan kakitangan JKM turut menghadapi
masalah dan ancaman semasa melakukan operasi untuk menyelamatkan
pengemis serta orang papa apabila mereka bertindak ganas
terhadap pegawai dan kakitangan JKM.
Bagi
memudahkan operasi menyelamat pengemis dan orang papa,
JKM mendapatkan bantuan polis, pihak berkuasa tempatan
dan Jabatan Imigresen.
Beliau
berkata, kementerian juga bercadang untuk mengadakan
elaun khas kepada pegawai dan kakitangan JKM yang terlibat
dalam operasi sedemikian bagi memastikan keselamatan
mereka terjaga.
Terdahulu,
semasa menjawab soalan Loh Seng Kok (BN-Kelana Jaya)
pada sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Rakyat,
Chew berkata, pengemis dan orang papa yang diselamatkan
akan dihantar ke Pusat Bina Diri di Mersing, Johor,
sebuah institusi pemulihan untuk pengemis dan kutu rayau,
selama tiga tahun atas perintah mahkamah di bawah Akta
Orang Papa 1977.
Di
institut itu, mereka akan menjalani program pemulihan,
bimbingan dan kaunseling serta latihan vokasional supaya
dapat hidup berdikari apabila keluar daripada pusat
berkenaan.
Menjawab
soalan tambahan Loh mengenai kadar kejayaan membantu
pengemis dan orang papa, Chew berkata, sehingga kini
80 peratus daripada mereka yang diselamatkan telah berjaya
membina penghidupan yang lebih baik kecuali 20 peratus
yang kembali mengemis.
Setakat
Oktober lalu, seramai 664 pengemis dan orang papa ditempatkan
di Pusat Bina Diri Mersing. Katanya, sebuah lagi Pusat
Bina Diri akan diwujudkan iaitu di Jerantut, Pahang.
|