Menjaga
warga emas - Tanggungjawab semua pihak
Seorang
ibu mampu menjaga 10 anak, namun 10 anak belum tentu
mampu menjaga seorang ibu - ungkapan yang biasa didengar
tetapi tidak semua memahami atau mungkin buat-buat tidak
faham makna yang tersirat di dalamnya.
Kalau
semua anak-anak memahami sudah pasti tidak timbul fenomena
ibu bapa diabaikan dengan meletakkan tanggungjawab menjaga
mereka pada pekerja rumah-rumah kebajikan.
Biarpun
dikatakan belum berada pada tahap serius ia sedikit
sebanyak telah mendorong pertimbangan kerajaan untuk
kemungkinan memperkenalkan akta khas mewajibkan anak-anak
menanggung kos sara hidup orang tua mereka.
Hal
ini disuarakan sendiri oleh Menteri Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul
Jalil tidak lama dulu.
Mungkinkah
tanggungjawab menjaga dan menyara ibu bapa yang yang
sepatutnya dilakukan secara senang hati oleh anak-anak
akan dilihat menjadi satu paksaan melalui kewujudan
akta itu sehingga melenyapkan nilai-nilai keikhlasan.
Wartawan
Siti Zaleha Jorimai mendapatkan pandangan Pensyarah
Fakulti Pembangunan Sosial dan Kemanusiaan Universiti
Utara Malaysia (UUM) Zarina Mat Saad mengenai isu penjagaan
ke ibu bapa dan warga tua serta kewajaran akta tersebut.
MENJAGA
warga tua atau ibu bapa yang sudah lanjut usia bukan
masalah individu, sebaliknya melibatkan semua pihak
terutama institusi keluarga, masyarakat dan kerajaan.
Bahkan
jika dilihat penggunaan terma penjaga itu sendiri, ia
meliputi tanggungjawab semua pihak dan terdapat banyak
bentuk penjaga.
Pensyarah
Jabatan Kerja-Kerja Sosial, Fakulti Pembangunan Sosial
dan Kemanusiaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Zarina
Mat Saad berkata, masyarakat Malaysia secara tradisional
masih mengamalkan sistem keluarga luasan iaitu isi rumah
yang merangkumi ibu bapa, anak-anak dan datuk, nenek
atau anggota keluarga yang lain.
Ini
katanya, secara tak langsung memupuk rasa tanggungjawab,
perasaan kasih sayang, sokongan dan ikatan kekeluargaan
yang kuat oleh ahli keluarga terhadap warga tua. Namun
menurut beliau, disebabkan arus pembangunan dan proses
modenisasi, nilai tradisional tadi beransur-ansur menurun.
"Akibatnya
masyarakat menjadi lebih individualistik dan hubungan
kekeluargaan semakin renggang. Bagaimanapun keadaan
ini bukanlah sesuatu yang serius kerana masih lagi wujud
keluarga luasan di Malaysia,'' katanya.
Zarina
berkata, mengikut statistik Jabatan Perangkaan 1998,
sebanyak 58 peratus penduduk berumur tinggal di dalam
isi rumah keluarga luasan. Kajian-kajian tentang persepsi
generasi muda terhadap warga tua yang dijalankan di
UUM pula mendapati kebanyakan mereka melihat warga tua
atau proses penuaan itu dalam keadaan positif.
Katanya,
sebagai anak-anak, kita seharusnya mempunyai tanggungjawab
menjalankan tugas menjaga ibu bapa yang berumur. "Ia
bukan sahaja tanggungjawab sosial tetapi ia adalah tuntutan
agama. Anak-anak perlu menjaga ibu bapa mereka semasa
ibu bapa mereka sihat seperti menjaga makan minum, pakaian,
tempat tinggal selesa dan sebagainya".
"Menjaga
ibu bapa ketika sakit, ketika diambang maut dan juga
menguruskan jenazah ibu bapa juga tanggungjawab yang
dituntut,'' katanya. Secara umumnya Zarina berpendapat,
akta khas yang mewajibkan anak-anak menanggung sara
hidup orang tua mereka masih tidak diperlukan buat masa
ini.
Bagi
beliau, kes pengabaian terhadap ibu bapa atau warga
tua di negara ini belum berada pada tahap yang serius
sehingga memerlukan akta khas.
"Lagipun
di dalam tuntutan agama ia cukup jelas yang menuntut
kita sebagai anak dan masyarakat menjaga orang yang
berumur. Namun, ini bukan bermakna isu penjagaan keatas
warga tua harus dipandang ringan.
"Kita
juga sudah mempunyai Pelan Tindakan Dasar Warga Tua
Negara yang menekankan kepada program-program untuk
menggalakkan penjagaan warga tua di dalam keluarga mereka
sendiri,'' katanya.
Bagaimanapun
beliau berkata, beberapa tindakan atau tanggungjawab
lain perlu dilaksanakan secara bersama bukan hanya diletakkan
tanggungjawab tersebut kepada penjaga informal di rumah.
Bantuan
Beliau
mengakui, sekarang ini kerajaan menyediakan pelbagai
bantuan, program, dan insentif kepada penjaga yang menjaga
warga tua. Namun, ada segelintir anak-anak yang mengambil
jalan mudah menghantar ibu bapa mereka ke rumah-rumah
orang tua dengan alasan sibuk bekerja dan sebagainya.
Ada
juga anak-anak yang terdesak menghantar ibu bapa mereka
ke rumah orang tua kerana tekanan dan desakan ekonomi.
Memang
ada anak-anak menjaga orang tua mereka dengan rela hati
dan penuh kasih sayang sehingga kadang-kadang mereka
sendiri mengalami tekanan secara sedar atau tidak. Tugas
menjaga bukan sahaja memerlukan tenaga, tetapi masa,
dan sumber kewangan yang cukup di samping menjalankan
tanggungjawab sosial yang lain.
Oleh
itu, penjaga perlu juga mengawal tahap tekanan mereka
supaya kesihatan fizikal dan mental mereka dalam keadaan
terkawal. "Jika penjaga sendiri mengalami masalah
fizikal atau mental bagaimana mereka hendak menjalankan
tanggungjawab yang murni ini. Silap langkah, mereka
sendiri yang menjadi pendera atau pengabai terhadap
warga tua,'' katanya.
Beliau
memberi beberapa tip yang boleh membantu penjaga mengurangkan
tekanan ketika menjaga warga tua terutamanya warga tua
yang memerlukan jagaan sepenuhnya seperti sakit atau
nyanyuk.
Antara
cadangan boleh dilakukan untuk mengatasi masalah pengabaian
warga tua ialah; Menerapkan pendidikan tentang nilai-nilai
kekeluargaan dan penjagaan warga tua di peringkat awal.
Sebagai
contoh, melatih anak-anak yang masih muda rasa tanggungjawab
dan sayang terhadap orang tua.
Selain
itu, memperbanyakkan konsep penjagaan inter-generasi
di mana agensi atau pusat penjagaan menyediakan penjagaan
secara bersama iaitu pusat penjagaan untuk kanak-kanak
dan warga tua.
"Dengan
cara itu program atau aktiviti yang dijalankan boleh
melibatkan warga tua dan kanak-kanak dapat memupuk rasa
hormat dan sayang di antara mereka,'' katanya.
Dalam
pada yang sama katanya, program-program atau insentif
daripada kerajaan atau swasta untuk membantu penjagaan
kepada penjaga perlu diwar-warkan agar mereka lebih
sedar tentang sumber yang boleh didapati terutama mereka
yang tinggal di luar bandar.
Perlu
menyediakan satu sistem pendaftaran penjaga supaya segala
bentuk bantuan dan program boleh disalurkan dengan mudah.
"Maknanya
kita tahu siapa yang menjaga siapa di dalam masyarakat,''
katanya. Pihak berkuasa tempatan pula katanya, harus
membentuk dasar memberi keutamaan perumahan kepada penjaga
yang menjaga ibu bapa yang tua, di samping mewujudkan
struktur perumahan yang sesuai untuk ibu bapa yang tua
di bandar.
"Kita
mungkin boleh mengambil contoh negara-negara maju seperti
Amerika Syarikat, di mana mereka menyediakan perumahan
atau bangunan untuk warga tua yang lebih suka hidup
sendiri".
"Oleh
itu, ibu bapa boleh tinggal di bandar berdekatan dengan
anak-anak tetapi mungkin bukan di dalam satu rumah,''
katanya.
Majikan
perlu katanya, perlu menyediakan persekitaran kerja
yang lebih mesra kepada penjaga seperti waktu kerja
yang fleksibel, sistem kerja dari rumah, atau ganjaran
atau bantuan-bantuan kewangan yang lain.
|